“aku akan memalingkan  (hati) orang-orang yang sombong  takbur di  atas muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami)  ayat-ayat-Ku  (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat  demikian)  jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak  beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada  petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan  sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus  mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana  mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai  daripadanya.”
SAUDARA-SAUDARI YANG BUDIMAN,
Ivan Illich dalam karyanya, “Deschooling  Society”, dengan keras mengkritik institusi pendidikan yang telah hilang  fungsi ‘mendidik’.  Malah,  fungsi ‘mendidik’ itu telah bertukar kepada ‘mengelirukan’. Menurut  beliau:
“the pupil is thereby ‘schooled’ to  confuse teaching with learning, great advancement with education, a  diploma with competence, a fluency and the ability to say something new.  His imagination is ‘schooled’ to accept service in place of value”
Kebobrokan  (kerosakan) “bawah sedar” berlaku dalam sosio-intelek masyarakat  kampus. Mahasiswa selaku ‘watak utama’ dalam  perbenturan (clash) dengan puak yang menjadi ‘penguasa (authority)  institusi pendidikan’; tetapi mereka (authority) mempunyai niat  buruk yang dimanifestasikan melalui tindakan-tindakan mereka yang  menindas mahasiswa demi mencapai cita-cita diablotis (ke-iblis-an) mereka. Golongan  penguasa berjiwa haiwan ini akan kita kenali selepas ini sebagai al-Mustakbirun.
SAUDARA-SAUDARI; YANG MERUPAKAN WATAK UTAMA MAKALAH INI,
Tanpa sedar, pelajar atau mahasiswa,  disogok dengan nilai-nilai ‘yang dianggap sah’ oleh golongan al-Mustakbirun (iaitu segelintir kelompok  elit dalam masyarakat yang menyombongkan diri). Mahasiswa menjadi  kelompok yang ‘dilemahkan’ (al-Mustadh ‘afun); dibenam  sisi kekuatannya dan sebaliknya, sisi kelemahannya dibangkitkan.  Masyarakat mahasiswa yang kini seakan-akan “robotized and machinized  society” sudah lama lupa  dan lalai (al-ghaflah) akan tanggungjawabnya sebagai ‘kelompok  intelektual berfungsi’ yang menjadi agen perubahan yang signifikan.  Dalam kata lain, masyarakat  mahasiswa hari ini sudah mula terkesan dengan program pembengongan  sistematik oleh golongan al-Mustakbirun yang punya kepentingan diablotisnya. Maka, tidak  keterlaluan jika kita mengatakan bahawa golongan al-Mustakbirun ini sedang merancang suatu bentuk  transformasi social-intelek ke atas golongan mahasiswa, menjadikan  mereka (mahasiswa) golongan lalai dan membentuk mereka menjadi sebuah “masyarakat bengong”.
Secara  psikologinya, ‘masyarakat  bengong’ mengalami  penyakit jiwa (korupsi psycho-spritual-intelektual)  yang kronik. Penyakit jiwa ini menghalang mereka daripada menyaksikan  hakikat kebenaran. Akal dan daya intelek mereka menjadi songsang  menyebabkan mereka menilai ‘kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan  sebagai kebenaran’. Perkara ini disentuh melalui analisa sufistik oleh  Ibn Qayyim yang terakam dalam karyanya “al-Wabilu s-Sayyib mina  l-kalimi t-Tayyib”
“…kalau  sekiranya hati berkarat, maka gambaran-gambaran maklumat yang terakam  padanya tidak akan menepati realitinya yang sebenar, justeru, ia akan  melihat kebatilan sebagai benar dan kebenaran sebagai kebatilan…. Maka,  ia tidak lagi menerima kebenaran dan tidak mahu menafikan kebatilan. Ini  merupakan sebesar-besar hukuman bagi hati (a’ zami ‘uqubat al-qalbi).  Puncanya ialah kelalaian dan mengikut hawa nafsu, maka kedua-duanya  memadamkan cahaya hati dan membutakan pandangannya…”
“… dan janganlah kamu mematuhi orang yang  lalai hatinya daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami serta ia  menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui  kebenaran…”
(surah al-Kahfi : ayat 28)
Itulah  antara ciri-ciri masyarakat yang telah dilemahkan. Cuba saudara-saudari  buat penilaian ciri-ciri yang tersebut dengan masyarakat mahasiswa hari  ini. Saudara-saudari nilaikannya sendiri.
SAUDARA-SAUDARI YANG PRIHATIN,
Beralih pula kepada kelompok elit lagi  sombong yang lalai dan mengikut hawa nafsu ini; dikenali sebagai al-Mustakbirun.  Mereka cuba menjadikan pendidikan  sebagai suatu wahana keuntungan fizikal (education as a tool for  physical beneficial) melalui institusi pendidikan. Proses ‘komersialisasi’ yang beranak dari fahaman sesat kapitalisme ini sudah pasti merobah  keseluruhan pandangan tentang makna, tujuan dan fungsi pendidikan.  Pendidikan sebagai ‘sumber menjana kekayaan’ ini diakui oleh perspektif  pendidikan Teori Konflik;
“Pendidikan dipersepsikan sebagai  sebahagian super-struktur yang digunakan oleh kaum kapitalis bagi  tujuan-tujuan ekonomi. Persaingan dalam memperoleh kedudukan ekonomi  menjadi punca konflik dalam masyarakat”
Jadi,  menurut Teori Konflik, pendidikan adalah proses langsung re-produksi  sistem yang sedia wujud dan yang paling utama, pendidikan membantu  mengekalkan pengembangan sistem ekonomi kapitalis yang menindas.
Segalanya  berkenaan ‘duit’ (everything is about money).  Kaum Mustakbirun yang biadab ini sanggup  mengorbankan segalanya termasuk Agama, Bangsa dan Tanah Air demi entiti  yang namanya ‘duit’. Aspirasi  dan cita-cita besar ummat yang berusaha membina semula Tamadun Khayra  Ummah (ummat yang  terbaik:/ Rujuk al-Quran surah ali-‘Imran; ayat 110) melalui penubuhan Institusi Pengajian  Tinggi (IPT) bertaraf antarabangsa yang Islamik habis punah dengan penguasaan  manusia-manusia rakus berjiwa syaitan.
SAUDARA-SAUDARI YANG PERCAYA KEPADA  KEBENARAN,
Apakah saudara-saudari selaku mahasiswa  (yang merupakan watak utama dalam makalah ini) sanggup berdiam diri dan  terus menjalani proses  pembodohan dan pembengongan oleh Kaum Mustakbirun syaitan ini? IPT Islami  yang sebenarnya ditubuhkan hasil perjuangan mahasiswa dan rakyat ini  perlu dipertahankan! (rujuk sejarah perjuangan mahasiswa dalam menuntut  penubuhan IPT Islami di Malaysia) Apakah saudara-saudari mahu melihat  IPT hasil pengorbanan, suka-duka, titik peluh, dan air mata rakyat ini  terus menderita kesakitan dan menjadi bebanan kepada Ummat Islam  keseluruhannya? Apakah saudara-saudari mahu bersubahat dengan Para Syaitan Mustakbirun untuk meruntuhkan agama  demi tujuan diablotis mereka?
Ah!  Sudah! Kami tak rela dibodohkan! Kami tak rela dirobotkan! Kami tak mahu  diperalatkan! Kami tak sanggup bersubahat! Kami cintakan keadilan! Kami  cintakan KEBENARAN! Kami akan berjuang sehingga datang janji Allah.  Kami akan sepenuh hati berusaha mengeluarkan manusia daripada dzulumat (kegelapan-kegelapan) kepada Nur (cahaya) dengan izin dan  bantuan Ilahi.
Seorang tokoh intelektual Muslim,  al-Marhum Prof. Ismail Faruqi pernah menyebut,
“The person with a role that is  relevant to us here is the person with a cause. The person with a cause  is a person who have vision (idealism)….”
                Kami akan bertindak,  berbekalkan idealisme  mahasiswa yang sejati. Idealisme yang menyedari hakikat kewujudannya  dan kewajipannya dalam menunaikan Hak Ta’ala dan hak selain-Nya,  memperjuangkan kebenaran tanpa mengharap habuan material-duniawi :  seperti pangkat &  sanjungan, harta & kemewahan melainkan redha dan  janji-janji-Nya.  (berhati-hati;  jangan terpedaya dengan seruan palsu yang ber-atas-nama-kan  ‘mahasiswa’) Seruan penulis kepada saudara-saudari; fikir-fikirkan! Dan  bertindak mengikut kemampuan masing-masing. Kerana semua orang punya  potensi tersendiri dan penulis yakin dengan potensi manusia kerana ia  salah satu anugerah Tuhan.