Jalan Raya : Bukan Bapak Kau Yang Punya




Suatu malam, selepas menyelesaikan tugasan melawa



t tapak program, saya (Peminggir Kota) bersama seorang sahabat senior ronda-ronda pusing KL untuk singgah minum malam sebelum pulang ke peraduan masing-masing. Dan dalam perjalanan..

Maka, bermulalah ceritera:-
Di simpang empat jalan raya,
tengah kota Dataran Merdeka,
ada seorang apek tua,
naik basikal roda tiga,
agaknya baru balik berniaga,
muatan sarat lagi aneka.

Tiba-tiba lampu merah,
Apek berhenti pemandu berhemah,
Kenderaan lalu pelbagai arah,
Apek berasa sungguh bertuah,
Berhenti sekejap menghilang lelah,
Buat mengecaj tenaga yang lemah.

Lampu merah seketika cuma,
Lampu hijau, jalan tandanya,
Apek kembali memerah tenaga,
Walau payah apek berusaha,
Kayuh-kayuh sepenuh hatinya,
Tapi apek sekuat mana?

Apek tua tak banyak kederat,
Perlahan walau dikayuh kuat,
Sekali kayuh tak jauh takat,
Apek kayuh tersekat-sekat,
Lebih penting rezeki berkat,
Untuk anak dan suku sakat.

Sungguh apek memang perasan,
Walau malam, penuh jalanan,
Kereta lalu bukan perlahan,
Apek tua di ‘hon-hon’ kan,
Kerana ber ‘kura-kura’ di atas jalan,
Apek terpaksa kuatkan kayuhan.

Apakah orang yang meng’hon’ tak tahu,
Atau pura-pura tak tahu,
Apek bukan orang muda dada berbulu,
Gagah perkasa memecahkan batu,
Apek hampir hilang kuku,
Tanda upaya tak macam dulu.

Lalu aku melihat kejadiaan,
Di Findland aku diberi khabaran,
Tak ada jejantas yang kelihatan,
Pemandu sopan memberi jalan,
Kepada mereka yang pohon laluan,
Kereta berlalu cukup perlahan.

Namun di sana telah dilahirkan,
Berpuluh-puluh jaguh handalan,
Dengan kecekapan dan kepantasan,
Memecut laju di litar perlumbaan,
Mereka disanjung jadi kebanggaan,
Jagoan berprestij sukan F-One (F1).

Sungguh laju orang-orang kita,
Kononnya hebat di jalan raya,
Tapi tak nampak pun sang juara,
Yang mampu untuk mencipta nama,
Ini jalan untuk semua,
Bukan jalan bapak kau yang punya.









peminggirkota.blogspot.com

Buat Teman Mahasiswa



Belajar sambil
mencabar

Pengetahuan tidak terjuntai
seperti pisang


Bangsamu tidak termaju
tanpa pemimpin


Berpengalaman (mencabar) DAN terpelaja
r



Prof. Ungku A.Aziz (1973)

Iblis yang men'TOLOL'kan




“aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong  takbur di atas muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayat-Ku  (yang menunjukkan kekuasaan-Ku); dan mereka (yang bersifat demikian)  jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.”
(Qs. Al-A’raf : 146)

SAUDARA-SAUDARI YANG BUDIMAN,
Ivan Illich dalam karyanya, “Deschooling Society”, dengan keras mengkritik institusi pendidikan yang telah hilang fungsi ‘mendidik’.  Malah, fungsi ‘mendidik’ itu telah bertukar kepada ‘mengelirukan’. Menurut beliau:

“the pupil is thereby ‘schooled’ to confuse teaching with learning, great advancement with education, a diploma with competence, a fluency and the ability to say something new. His imagination is ‘schooled’ to accept service in place of value”

Kebobrokan (kerosakan) “bawah sedar” berlaku dalam sosio-intelek masyarakat kampus. Mahasiswa selaku ‘watak utama’ dalam perbenturan (clash) dengan puak yang menjadi ‘penguasa (authority) institusi pendidikan’; tetapi mereka (authority) mempunyai niat buruk yang dimanifestasikan melalui tindakan-tindakan mereka yang menindas mahasiswa demi mencapai cita-cita diablotis (ke-iblis-an) mereka. Golongan penguasa berjiwa haiwan ini akan kita kenali selepas ini sebagai al-Mustakbirun.

SAUDARA-SAUDARI; YANG MERUPAKAN WATAK UTAMA MAKALAH INI,
Tanpa sedar, pelajar atau mahasiswa, disogok dengan nilai-nilai ‘yang dianggap sah’ oleh golongan al-Mustakbirun (iaitu segelintir kelompok elit dalam masyarakat yang menyombongkan diri). Mahasiswa menjadi kelompok yang ‘dilemahkan’ (al-Mustadh ‘afun); dibenam sisi kekuatannya dan sebaliknya, sisi kelemahannya dibangkitkan. Masyarakat mahasiswa yang kini seakan-akan “robotized and machinized society” sudah lama lupa dan lalai (al-ghaflah) akan tanggungjawabnya sebagai ‘kelompok intelektual berfungsi’ yang menjadi agen perubahan yang signifikan.  Dalam kata lain, masyarakat mahasiswa hari ini sudah mula terkesan dengan program pembengongan sistematik oleh golongan al-Mustakbirun yang punya kepentingan diablotisnya. Maka, tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa golongan al-Mustakbirun ini sedang merancang suatu bentuk transformasi social-intelek ke atas golongan mahasiswa, menjadikan mereka (mahasiswa) golongan lalai dan membentuk mereka menjadi sebuah “masyarakat bengong”.

Secara psikologinya, ‘masyarakat bengong’ mengalami penyakit jiwa (korupsi psycho-spritual-intelektual) yang kronik. Penyakit jiwa ini menghalang mereka daripada menyaksikan hakikat kebenaran. Akal dan daya intelek mereka menjadi songsang menyebabkan mereka menilai ‘kebenaran sebagai kebatilan dan kebatilan sebagai kebenaran’. Perkara ini disentuh melalui analisa sufistik oleh Ibn Qayyim yang terakam dalam karyanya “al-Wabilu s-Sayyib mina l-kalimi t-Tayyib

“…kalau sekiranya hati berkarat, maka gambaran-gambaran maklumat yang terakam padanya tidak akan menepati realitinya yang sebenar, justeru, ia akan melihat kebatilan sebagai benar dan kebenaran sebagai kebatilan…. Maka, ia tidak lagi menerima kebenaran dan tidak mahu menafikan kebatilan. Ini merupakan sebesar-besar hukuman bagi hati (a’ zami ‘uqubat al-qalbi). Puncanya ialah kelalaian dan mengikut hawa nafsu, maka kedua-duanya memadamkan cahaya hati dan membutakan pandangannya…”

Allah Ta’ala berfirman,
“… dan janganlah kamu mematuhi orang yang lalai hatinya daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran…”
(surah al-Kahfi : ayat 28)

Itulah antara ciri-ciri masyarakat yang telah dilemahkan. Cuba saudara-saudari buat penilaian ciri-ciri yang tersebut dengan masyarakat mahasiswa hari ini. Saudara-saudari nilaikannya sendiri.

SAUDARA-SAUDARI YANG PRIHATIN,
Beralih pula kepada kelompok elit lagi sombong yang lalai dan mengikut hawa nafsu ini; dikenali sebagai al-Mustakbirun. Mereka cuba menjadikan pendidikan sebagai suatu wahana keuntungan fizikal (education as a tool for physical beneficial) melalui institusi pendidikan. Proses ‘komersialisasi’ yang beranak dari fahaman sesat kapitalisme ini sudah pasti merobah keseluruhan pandangan tentang makna, tujuan dan fungsi pendidikan. Pendidikan sebagai ‘sumber menjana kekayaan’ ini diakui oleh perspektif pendidikan Teori Konflik;

“Pendidikan dipersepsikan sebagai sebahagian super-struktur yang digunakan oleh kaum kapitalis bagi tujuan-tujuan ekonomi. Persaingan dalam memperoleh kedudukan ekonomi menjadi punca konflik dalam masyarakat”

Jadi, menurut Teori Konflik, pendidikan adalah proses langsung re-produksi sistem yang sedia wujud dan yang paling utama, pendidikan membantu mengekalkan pengembangan sistem ekonomi kapitalis yang menindas.

Segalanya berkenaan ‘duit’ (everything is about money).  Kaum Mustakbirun yang biadab ini sanggup mengorbankan segalanya termasuk Agama, Bangsa dan Tanah Air demi entiti yang namanya ‘duit’. Aspirasi dan cita-cita besar ummat yang berusaha membina semula Tamadun Khayra Ummah (ummat yang terbaik:/ Rujuk al-Quran surah ali-‘Imran; ayat 110) melalui penubuhan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bertaraf antarabangsa yang Islamik habis punah dengan penguasaan manusia-manusia rakus berjiwa syaitan.

SAUDARA-SAUDARI YANG PERCAYA KEPADA KEBENARAN,
Apakah saudara-saudari selaku mahasiswa (yang merupakan watak utama dalam makalah ini) sanggup berdiam diri dan terus menjalani proses pembodohan dan pembengongan oleh Kaum Mustakbirun syaitan ini? IPT Islami yang sebenarnya ditubuhkan hasil perjuangan mahasiswa dan rakyat ini perlu dipertahankan! (rujuk sejarah perjuangan mahasiswa dalam menuntut penubuhan IPT Islami di Malaysia) Apakah saudara-saudari mahu melihat IPT hasil pengorbanan, suka-duka, titik peluh, dan air mata rakyat ini terus menderita kesakitan dan menjadi bebanan kepada Ummat Islam keseluruhannya? Apakah saudara-saudari mahu bersubahat dengan Para Syaitan Mustakbirun untuk meruntuhkan agama demi tujuan diablotis mereka?

Ah! Sudah! Kami tak rela dibodohkan! Kami tak rela dirobotkan! Kami tak mahu diperalatkan! Kami tak sanggup bersubahat! Kami cintakan keadilan! Kami cintakan KEBENARAN! Kami akan berjuang sehingga datang janji Allah. Kami akan sepenuh hati berusaha mengeluarkan manusia daripada dzulumat (kegelapan-kegelapan) kepada Nur (cahaya) dengan izin dan bantuan Ilahi.

Seorang tokoh intelektual Muslim, al-Marhum Prof. Ismail Faruqi pernah menyebut,
“The person with a role that is relevant to us here is the person with a cause. The person with a cause is a person who have vision (idealism)….”

                Kami akan bertindak, berbekalkan idealisme mahasiswa yang sejati. Idealisme yang menyedari hakikat kewujudannya dan kewajipannya dalam menunaikan Hak Ta’ala dan hak selain-Nya, memperjuangkan kebenaran tanpa mengharap habuan material-duniawi : seperti pangkat & sanjungan, harta & kemewahan melainkan redha dan janji-janji-Nya.  (berhati-hati; jangan terpedaya dengan seruan palsu yang ber-atas-nama-kan ‘mahasiswa’) Seruan penulis kepada saudara-saudari; fikir-fikirkan! Dan bertindak mengikut kemampuan masing-masing. Kerana semua orang punya potensi tersendiri dan penulis yakin dengan potensi manusia kerana ia salah satu anugerah Tuhan.

WalLahu Ta’ala A’lam

Embun - untaian kritikan sosial

EMBUN 




selamanya pagi akan terbangun, 
oleh mimpi yang sama,
seperti saat kehadiran bayi matahari meluncur girang
di sela-sela liang angin menangkap remah-remah jejak kaki bekas 
tadi malam: seorang pelacur dalam perjalanan pulang 
menuju rumah yang tak pernah menunggunya. 
meluncur ia meluncur terbang ia terbang 
bayi matahari bergumam kenapa ia lahir hanya ketika pagi 
dan jatuh pula ia di berbagai tempat: 
kolong jambatan, kaki lima kedai, timbunan sampah, pinggir jalan, gubuk lapuk 
oh, terlalu lapuk untuk tempat ia mendarat.

selamanya pagi akan menyimpan gelak tawa bayi matahari menyimpannya saja 
tak ia keluarkan 
sebab sudah terlalu banyak suara ketawa ia dengar 
di bermacam tempat: 
gedung mahkamah, 
kantong celana dan kantong dompet wakil rakyat, 
rekah luka di dada pedagang kakilima, 
tangan-tangan pemuda pemasang tiang bendera partai, 
calon-calon pemimpin yang saling membantai, 
banjir lumpur ah banjir ah lumpur 
siapa yang mendengkur masihkah mendengkur.......

maka selamanya pagi akan tetap menyimpan gelak tawa bayi matahari 
bersama mimpi yang sama yang selalu membangunkannya tentang seorang pelacur 
dalam perjalanan pergi menuju rumah yang tak pernah menyambutnya 
kemudian pagi menitipkan saja ke mata sehelai daun 
biar ia bilang biar seluruh semesta menyaksikan saja daun itu menangis

menyaksikan saja
daun itu
menangis



12.27 pagi
24 November 09

Atas nama mahasiswa


Mahasiswa berjiwa besar itu berfikir

Berbicara dengan hati nurani

Menilai diri untuk meperbaiki kelemahan

Membina kekuatan untuk menerajui perubahan


Atas nama mahasiswa

Suara hatinya berbicara

aku mahasiswa

bukan budak hingusan

Aku mahasiswa

tidak rela menjadi kuda tunggangan

Aku mahasiswa

bukan boneka mainan

Perjuanganku hanyalah kepada kebenaran dan keadilan

Budaya ilmu menjadi pegangan

Tidak ku gadai prinsip perjuangan

Tidak kugentar sebarang ugutan

Setia menyeru Kebaikan

Berani menentang kemungkaran

Berpijak di bumi nyata

Mengambil iktibar sejarah silam

Berpandangan jauh penuh wawasan

Mengorak langkah gagah mara ke hadapan

Akan ku gegarkan dunia dengan suaraku

suara keramat

Suara anak muda

Suara mahasiswa

Pengugat kezaliman


Mahasiswa berjiwa besar itu kian insaf

Tanggungjawab hamba

amanah tuhan

Semakin yakin dengan kebenaran

Semakin sedar untuk berjuang

Atas nama mahasiswa



ilmuwan-w.blogspot.com

Gelanggang Pemuda - sudah Tiba ketikanya Anak Muda Berpencak





Prolegomena

Alangkah bahagianya dapat hidup di mayapada ini. Menikmati keindahan, melihat dan mendengar, mencintai dan dicintai, untuk sekadar dapat bernafas semata-mata, menjadi sebahagian daripada kehidupan adalah berbaloi dengan setiap pengorbanan yang terpaksa dicurahkan.

Dunia yang aman, sentosa -  dengan curahan kasih sayang, sentuhan keadilan, kebebasan dengan pegangan dan prinsip moral -  hak setiap yang bernyawa terpelihara, inilah impian setiap dari kita yang bergelar manusia dan punya nilai yang namanya “kemanusiaan”.
Apakah semua ini kita rasai dalam dunia ini khususnya dalam bumi yang bernama Malaysia?

Berapa ramai yang masih derita kemiskinan? Berapa ramaikah masih merintih kepayahan? Berapa ramai kanak-kanak yang dinafikan hak untuk mendapat pelajaran?  - penderitaan akibat dinafikan hak mereka oleh para Bourgeois keparat yang memenuhkan perut mereka dengan duit haram yang mereka rampas daripada si penderita itu.

Berapa ramai pula yang ditangkap, disumbat dalam sel dan lokap, dilayan umpama “tikus mondok yang mencuri makanan”? sedang ada dalam kalangan mereka bersuara membela yang teraniaya, atas nama keadilan dan kebenaran.

Permainan kotor politik para pemegang ‘kepala duit’ ; sanggup berbuat apa sahaja dengan kuasa wang untuk berkuasa dan membolot lebih banyak wang. Mereka cantas yang selain mereka.

Mungkin ada yang berbangga dengan pencapaian ekonomi negara yang membangun, lalu bertanya kepada kita, “apa lagi yang tak kena?” Inilah peranan kita bagi menyembuhkan “mata-mata” mereka yang sudah dibutakan. Pemerasan oleh “Orang Besar” terhadap “orang kecil” tidak boleh didiamkan.

Situasi semasa menuntut kesungguhan dan kesanggupan, idea dan buah fikiran, tenaga dan kudrat, cinta dan kasih sayang, dan juga segala macam instrumen yang mampu memacu perjuangan menuju “kebahagian”. Pastinya hidup itu untuk berjuang kerana perjuanganlah yang merencahkan kehidupan, dan kemanisan menempuh kendala itu sesuatu yang tak mampu dilakar dengan bahasa lisan.

Justeru, menginsafi situasi tersebut, perlu ada kelompok yang serius mengembleng segala upaya, memacu perjuangan suci ke arah keadilan dan kebenaran. Kita menyeru kelompok yang punya kekuatan idealisme, aktivisme, spiritualisme dan intelektualisme dansudah tiba ketikanya, anak muda berpencak! 




peminggirkota.blogspot.com
Kampung Pinang
19 November 09
12.15 mlm